Persembahan Ramli Ibrahim Di Asia Society Dapat Sambutan Hangat

Published Date:

November 10, 2014

Persembahan Ramli Ibrahim Di Asia Society Dapat Sambutan Hangat

Oleh Manik MehtaNEW YORK, 8 Nov (Bernama) — Selepas mengadakan persembahan pertamanya di daerah Flushing di sini, ikon tarian klasik Malaysia Datuk Ramli Ibrahim menerima sambutan hangat di Asia Society ketika menghidangkan persembahan bersama kumpulan Sutra Dance Theatre pimpinannya selama dua hari, bermula Jumaat malam.
Ramli dan kumpulannya mempersembahkan tarian berjudul ‘Krishna, Love Re-Invented’ yang dipadankan daripada satu tarian India berusia 2,000 tahun dikenali sebagai ‘Odissi’.
Jika persembahan mereka di Flushing dihoskan bersama oleh Cerebral Palsy Association of New York, yang diterajui seorang doktor Malaysia bernama Azimah Ehr dan Pejabat Tourism Malaysia New York, persembahan di Asia Society pula mendapat sokongan utama daripada Doris Duke Charitable Foundation, Helen and Will Little dan Leslie R. Samuels Foundation, dengan kerjasama Rajika dan Anupam Puri.
Persembahan di Asia Society bukan sahaja dihadiri banyak warga arus utama Amerika, tetapi juga rakyat Amerika berketurunan Asia termasuk dari India, Nepal, Bangladesh, Indonesia, Malaysia, Singapura, China dan Jepun.
Rachel Cooper, pengarah seni persembahan dan program kebudayaan global Asia Society, yang pernah tinggal di Indonesia dan berpengetahuan luas tentang rantau Asean, mengagumi kekayaan budaya dan kepelbagaian etnik yang terdapat di Malaysia.
“Persembahan yang bakal anda saksikan di sini malam ini benar-benar unik,” katanya ketika memperkenalkan Ramli dan kumpulannya kepada hadirin yang memenuhi auditorium itu.
Ramli menerima penghormatan tertinggi daripada beberapa negara kerana peranannya dalam memupuk muhibah dan persefahaman dalam kalangan pelbagai budaya melalui tarian.
Penari, koreografer dan guru tarian ini juga menerima anugerah kebangsaan India daripada Presiden India Pranab Mukherjee pada 2011 kerana sumbangan besar beliau dalam memupuk keamanan dan persefahaman melalui tarian.
Dalam temu bual dengan Bernama di Asia Society semalam, Ramli berkata beliau “sungguh terharu” dengan sambutan yang diterimanya di New York.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari University of Western Australia di Perth ini berkata oleh kerana terlalu meminati bidang tarian, beliau mengambil keputusan untuk tidak menceburi kerjaya dalam bidang kejuruteraan mekanikal.
“Saya bermula dengan Bharatnatyam dan selepas itu menjumpai Odissi, yang rasa saya lebih serasi dengan perwatakan saya,” kata Ramli, yang telah mengadakan persembahan di banyak negara dan lebih 100 bandar raya dunia.
“Saya pertama kali mengadakan persembahan di New York pada 1981 bersama Sydney Dance Company dan pada persembahan itulah saya mendapat perhatian penari terkenal, Indrani Rehman. Beliau menganjurkan banyak persembahan untuk saya di New York pada 1990-an,” katanya.’
Ramli dan kumpulannya telah banyak kali mengadakan persembahan di Amerika.
“Kami telah mengadakan persembahan yang sungguh hebat di Houston dan Edmonton (Kanada) dalam siri jelajah ini dan kini kami tidak sabar untuk mengadakan persembahan di Washington DC, hentian terakhir kami dalam siri jelajah ini,” kata Ramli, yang menyifatkan penonton di Asia Society sebagai “agak istimewa”.
Ramli berkata sebaik sahaja kembali ke Malaysia, beliau dan kumpulannya akan membuat persiapan bagi siri jelajah India pada minggu ketiga November, yang meliputi Mumbai, Ahmedabad dan Baroda.
— BERNAMA

You May Also Like…

The sutra of harmony

SUNIL KOTHARI Ramli Ibrahim before his performance in New Delhi. Photo Sushil Kumar Verma. From ballet to Bharatanatyam, Ramli Ibrahim presents multiple dance forms with grace and poise. As his latest Odissi production “Ganjam” makes waves, the celebrated Malaysian...

Quintessential Sutra book launch | Delhi, India, 2016

The launch of Quintessential Sutra (photograph by A. Prathap) took place in a lovely atmosphere of camaraderie with many luminaries of New Delhi dance world and also from the diplomatic and Malaysia-India business communities, in attendance. The new complex of the...